Tindakan terhadap pensyarah perlekeh pelajar B40 bakal diambil UiTM

Tindakan akan diambil sewajarnya oleh Universiti Teknologi MARA (UiTM) terhadap pensyarah kontrak yang tular memperlekehkan pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba yang dipercayai terjadi ketika sesi kelas atas talian.

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya kini dalam penelitian termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah berkenaan.

“Dia adalah pensyarah kontrak di UiTM cawangan Seri Iskandar, Perak dan mengajar di Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur (FSPU).

“Saya difahamkan insiden berkenaan berlaku pada semester lalu bagaimanapun ia baru ditularkan semalam. Isu ini mesti ada perancangan kenapa ia baru dimuatnaik semalam.

“Bagaimanapun, tindakan akan diambil dan untuk pelajar itu, kita sudah mengesan dan memberikan peralatan yang diperlukan (komputer riba),”

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor

Ujarnya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program One to One Tree dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Yayasan Hijau Malaysia dan UiTM di sini hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Roziah berkata, wanita berkenaan adalah pensyarah yang bagus dan mungkin berlaku sedikit kesilapan mengenai tindakannya menasihat pelajar berkenaan.

“Tindakan akan diambil tetapi saya tidak boleh jelaskan di sini. Dia adalah pensyarah kontrak dan ada laluan sebelum tindakan diambil.

“Semua pensyarah UiTM mahukan yang terbaik untuk pelajar-pelajar mereka dan saya harap orang ramai dapat bertimbang rasa terhadap staf dan pelajar saya,”

Naib Canselor UiTM, Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor

Beliau juga berkata, kenyataan rasmi akan dikeluarkan pihak UiTM berkaitan perkara itu dalam masa terdekat.

Sebelum ini, satu rakaman video klip berdurasi 1 minit 45 saat yang menontonkan pensyarah wanita terbabit memarahi seorang pelajar kerana tidak mempunyai komputer riba dan kelihatan seolah-olah memperlekehkan golongan B40.

Menerusi rakaman tersebut, pensyarah wanita berkenaan turut meminta pelajar itu menyuruh kakaknya menjual gelang emas bagi menampung pembelian komputer riba untuknya.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts