Jangan ‘kitar semula’ makanan tak laku!

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) bakal memperhebatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis jualan makanan bagi memastikan makanan yang dijual di bazar Ramadan sentiasa berada dalam keadaan selamat untuk dihadam.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, pemantauan dan pemeriksaan dengan kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bakal dilaksanakan secara berkala melibatkan kira-kira 231 lokasi bazar Ramadan di seluruh Negeri Selangor.

Selain itu katanya, JKNS juga akan membuat pensampelan makanan terutama ke atas makanan yang mempunyai risiko tinggi berasaskan santan, daging dan telur bagi menjamin keselamatan makanan kepada pembeli.

“Justeru itu, JKNS mengingatkan peniaga makanan dan minuman sentiasa peka dengan elemen keselamatan makanan.

“Ini bertujuan mengelakkan berlaku kejadian keracunan makanan yang boleh membawa kepada kesan buruk kepada kesihatan sekiranya tiada rawatan segera diberikan,” ujarnnya sebentar tadi.

Dr Sha’ari juga menyarankan peniaga bazar Ramadan memastikan setiap pengendali makanan menghadiri latihan pengendali makanan dan suntikan anti tifoid wajib diambil terlebih dahulu.

“Peniaga juga disarankan untuk memastikan bekalan makanan adalah selamat, menjaga kebersihan diri dan kawasan jualan serta memastikan tiada risiko pencemaran silang.

“Peniaga perlu memastikan makanan yang dijual disediakan setiap hari dan bukannya memanaskan baki makanan yang tidak habis dijual pada hari sebelumnya,” ujarnya juga.

Bagi jualan produk berasaskan minuman pula katanya, penjual perlu memastikan sumber bekalan air selamat diminum, manakala bekalan ais dari kilang ais yang sah berlesen (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“Pengendalian air dan ais hendaklah dalam keadaan bersih, selamat dan terhindar daripada risiko bahaya kimia, fizikal dan mikrobiologi,” ujarnya.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts