Yan Senrose : Jamal dan 3 rakan ditahan berkait kes bunuh

Jamal dan tiga rakannya ditahan pihak polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian teman wanitanya, Yan Senrose, cedera parah dipukul sebelum disahkan meninggal dunia, dalam kejadian di Teluk Kumbar di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal mengatakan bahawa empat lelaki berusia antara 23 hingga 28 tahun itu ditahan sekitar Teluk Kumbar bagi membantu siasatan kes bunuh tersebut.

“Polis menerima laporan daripada seorang doktor di Hospital Balik Pulau (HBP), di sini pada 10.39 malam Sabtu memaklumkan seorang wanita berusia 20 tahun dibawa ke hospital itu selepas tidak sedarkan diri dan berada dalam keadaan kritikal.

“Pemeriksaan ke atas mangsa mendapati terdapat kesan lebam di kepala dan seluruh tubuhnya sebelum wanita itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut berikutan keadaannya kritikal,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, Yan Senrose meninggal dunia pada 3 April ketika menerima rawatan di HPP dan susulan itu empat lelaki berkenaan ditahan polis bagi membantu siasatan.

Kamarul Rizal berkata lagi, empat lelaki tersebut direman sehingga 11 April ini bagi membantu siasatan dan kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan bunuh.

Terdahulu media melaporkan bahawa Yan Senrose mengalami kecederaan parah dipercayai dipukul teman lelakinya sebelum mangsa meninggal dunia. Kejadian tersebut berlaku selepas pasangan kekasih tersebut berbalah dan disyaki bermotifkan cemburu.

Mangsa dan teman lelakinya menumpang di rumah sewa kawan mereka pada 27 Mac lalu untuk video laman YouTube mereka. Difahamkan juga wanita itu berasal dari Melaka.

Pergaduhan membabitkan pasangan itu dipercayai bermula dengan perbalahan sebelum teman lelakinya dikatakan memukul mangsa dengan objek tumpul sehingga pengsan dan wanita tersebut dikejarkan ke HBP namun dirujuk ke HPP untuk rawatan lanjut sebelum disahkan meninggal dunia.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts