Basikal Lajak: Keluarga mangsa mendapat pembelaan

Keluarga remaja yang terlibat kemalangan basikal lajak hari ini melairkan rasa syukur dan lega apabila tragedi yang mengakibatkan kematian lapan remaja itu mendapat pembelaan.

Bagaimanapun, tragedi itu bukan mudah untuk dilupakan oleh keluarga mangsa selain memberikan kesan yang mendalam dalam hidup mereka serta menyebabkan kekacauan emosi.

Sabariah Yusof, 54, ibu kepada Allahyarham Mohamad Azhar Amir,16, berkata sehingga kini dia masih terbayang-bayang kelibat anaknya itu berada di rumah, walaupun telah menghadap Ilahi pada lima tahun yang lepas.

“Bangun pagi sahaja saya rasa hendak kejut dia pergi sekolah, terbayang dia masih ada. Katil dia selalu tidur juga saya tidak alih, masih ada.”

“Rasa kecewa sebelum ini wanita terbabit terlepas, sebenarnya tidak tahu hari ini dia dijatuhkan hukuman, rasa bersyukur sangat (kematian) dapat pembelaan, tidak boleh diungkapkan perasaan. Bagaimanapun saya reda atas kejadian ini kerana ujian Allah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Senibong.

Ibu kepada 10 cahaya mata itu berkata tragedi tersebut menyebabkan emosinya terganggu terutama selepas mendapat tahu segelintir orang ramai yang mengecam kejadian itu dan menyalahkan ibu bapa, namun dia terima seadanya dan sentiasa mendapat sokongan moral daripada penduduk setempat, keluarga terdekat dan juga guru-guru sekolah.

Dia berkata anak kelapannya itu juga adalah seorang anak yang baik dan ringan tulang kerana selalu membantunya menjual puding.

“Saya rasa sedih (apabila ada orang mengecam), sebab dia anak yang sangat baik dan sangat rapat dengan saya, selalu hantar saya pergi kerja.”
“Dia juga jarang naik basikal, kerana setiap malam bantu saya meniaga puding..dia akan jual dari warung ke warung berdekatan. Balik dari meniaga (hari kejadian) dia keluar dan terlibat kemalangan,” katanya lagi.

Sementara itu Salman Ahmed, 56, yang merupakan bapa kepada Muhamad Arif, 20, yang terselamat dalam tragedi itu, berkata anaknya sering mengalami kekacauan emosi setiap kali terkenang tragedi itu, selepas cedera parah dan mengalami gegaran otak akibat kemalangan tersebut.

Katanya tragedi itu turut mengakibatkan anak bongsunya yang ketika itu berusia 15 tahun, mengalami trauma apabila setiap kali melihat basikal disamping tidak keluar bersosial dengan orang ramai selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.

“Dia tidak boleh lihat basikal, cerita pasal kejadian itu atau lihat gambar pun tidak boleh, kalau ingat dia tidak boleh tidur. Lega (wanita itu) dijatuhkan hukuman, selagi hayat dikandung badan, selagi itu pakcik tidak dapat lupa peristiwa ini,” katanya.

Bapa kepada tiga anak itu turut memberitahu Muhamad Arif kini bekerja di sebuah kilang di Masai Lama sejak dua tahun lepas.

Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 ke atas Sam Ke Ting, 27, selepas didapati bersalah atas pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak pada lima tahun lepas.

Sam Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa telah melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, pada 3.20 pagi 18 Feb 2017.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts