Bella Down Sindrom : TMJ tawar khidmat peguam percuma

Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim membuat tawaran khidmat peguamnya secara percuma untuk melaksanakan arahan memerhati (watching brief) bagi kes penderaan Bella, remaja orang kurang upaya (OKU) sindrom down.

Tunku Ismail mengatakan, akan berurusan dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun berkaitan tawaran itu.

“Saya telah berhubung dan berbincang dengan peguam-peguam saya mengenai kes penderaan Bella.

“Kes ini sedang berjalan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan pihak pendakwaan kerajaan sudah memulakan perbicaraan terhadap OKT (orang kena tuduh) dalam kes ini,” katanya melalui hantaran di Facebook.

Tunku Ismail berkata, kes pendakwaan pada semasa ini melibatkan dua pihak iaitu pendakwa raya kerajaan bagi pihak kerajaan/awam, dan peguambela yang dilantik untuk mewakili tertuduh (OKT), Siti Bainun.

“Saya akan menghubungi Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun dan menawarkan perkhidmatan peguam-peguam saya secara percuma untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak”

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat untuk kes ini,” titahnya.

Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam

Sebelum ini, insiden yang menimpa Bella, 13, turut mendapat perhatian isteri TMJ, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam.

Khaleeda melalui ciapan dalam akaun Twitter turut menyatakan, akan berusaha untuk menuntut keadilan bagi Bella.

“Saya akan buat apa sahaja bagi mendapatkan keadilan buat Bella.”

“Saya kecewa dan letih melihat si pengecut yang berfikir mereka boleh buat apa sahaja terhadap kanak-kanak tidak berupaya dan fikir mereka akan terlepas.”

“Kamu boleh berselindung di sebalik barisan peguam kamu tetapi akhirnya karma akan tiba pada waktunya di dunia mahupun akhirat,” ujarnya.

Kelmarin, media melaporkan prosiding mahkamah berkaitan kes penderaan terhadap Bella.

Bella yang ketiadaan ibu dan bapa ketika ditemui telah dijadikan anak angkat di Rumah Bonda, sebuah rumah kebajikan di Wangsa Maju yang diasaskan oleh Siti Bainun.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun didakwa atas dua pertuduhan iaitu mengabaikan dan menzalimi Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.

Siti Bainun didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts