Yan Senrose: Jamal didakwa bunuh kekasih

Jamal dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada hari Jumaat lepas atas tuduhan membunuh kekasihnya, Yan Senrose atau nama sebenar Nur Diyanah Haris awal bulan ini.

Bagaimanapun, Abdul Jamal Ahmad, 23, hanya mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dinyatakan di hadapan Majistret Nur Fadrina Zulkhairi tetapi tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Jamal.

Berdasarkan pertuduhan, Abdul Jamal didakwa telah membunuh Nur Diyanah Haris, 21, di sebuah rumah di Lintang Kampung Masjid 3, Balik Pulau, Teluk Kumbar antara jam 9 pagi dan 5 petang pada 3 April lalu.

Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang bakal dikenakan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Atikah Asharaf Ali manakala tertuduh tidak diwakili sebarang peguam.

Nur Fadrina kemudiannya menyatakan bahawa tiada jaminan ditawarkan bagi pertuduhan mengikut Seksyen 302, yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan kepada Jamal.

“Bagaimanapun, anda boleh melantik peguam dan memohon jaminan di Mahkamah Tinggi,” ujarnya.

Tarikh 13 Julai ini telah ditetapkan untuk sebutan kes sementara menunggu laporan bedah siasat.

Difahamkan, tertuduh pernah menuntut di Sekolah Henry Gurney sebelum ini selain berkawan dengan YouTuber terkenal, Jokarko.

Pada 5 April lalu, empat lelaki ditahan untuk membantu siasatan berikutan kes Yan Senrose yang meninggal dunia atas sebab dipukul dalam kejadian 2 April lalu.

Selepas didapati tidak sedarkan diri dan kritikal, mangsa yang berusia 20 tahun dikejarkan ke hospital.

Pemeriksaan lanjut turut mendedahkan bahawa terdapat kesan lebam di kepala serta seluruh tubuhnya.

Mangsa yang menetap di Melaka itu datang ke Pulau Pinang bersama teman lelakinya pada 27 Mac lalu atas tujuan penggambaran dan kedua mereka tinggal di rumah sewa kawan mereka namun berlaku pertelingkahan dipercayai akibat cemburu.

Share this…
Share on Facebook
Facebook
Tweet about this on Twitter
Twitter

Similar Posts